>> Monday, July 11, 2011
LIMPAHAN RAHMANI
Category: Others
Manusia Yang Diperhamba Dunia
Kesal apabila memikirkan tentang umat, pada masa yang sama, setiap manusia berdepan dengan segala macam cabaran yang mendatang.Timbul pelbagai alasan demi mengelak dari dibeban amanah. Lalu, sisi-sisi kebaikkan terhakis sedikit demi sedikit, disebabkan tumpuan khusus diberi kepada menyelesai masalah sendiri, sehingga terlupa setiap diri mempunyai tanggungjawab kepada makhluk sekelilingnya.
Mengecap nikmat berupa kaya dan bahagia dikatakan sebagai sumber kepada segalanya.
Tuhan dikatakan diyakini, diimani, namun rupanya nafsu menguasai diri. Sifat-sifat syaitanniah serta haiwaniyyah jelas kelihatan menguasai diri.
Penyakit yang dihidapi ini sukar untuk dirasai, namun apabila ia menjangkiti, maka akan keluarlah cahaya iman dari diri manusia.
Manusia lupa bahawa diri sekadar abdi kepada Illahi. Ibadah yang dikatakan telah ditunaikan, rupanya bukan lahir dari keikhlasan diri. Tetapi sekadar dilakukan untuk menyedapkan hati. Dilaksanakan demi tujuan peribadi, untuk dihormati atau menarik tumpuan umum kepada diri. Maka, hadir riak menguasai diri manusia.
Badaah (nyamuk) telah diangkat oleh ALLAH SWT dalam al-Quran (Surah al-Baqarah: 2: 26), (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir). Menunjukkan bahawa ALLAH SWT Maha Mengetahui akan ehwal hambaNYA dan memberi bandingan antara nyamuk dengan manusia yang berakal bagi tujuan memberi kefahaman kepada manusia tentang perkara yang berada disekelilingnya.
Begitu juga sebagai satu peringatan dengan hikmah kebijaksanaan ALLAH SWT bagi menyedarkan sekalian hambaNYA bahawa selaku hamba, kita menjadi hina andai amanah selaku khalifah tidak ditunai dengan penuh keimanan.
Kerana ALLAH SWT Yang Maha Mulia tidak akan rugi dengan tindak-tanduk hambaNYA yang sombong dan ingkar.
Tujuan perbandingan dilakukan antara manusia dan haiwan ialah untuk memberi kemudahan kepada manusia untuk menjalankan penilaian tentang diri sendiri. Malahan, dengan bandingan sebegitu kecil DIA boleh menjadikan seseorang itu kufur atau taat kepadaNYA.
Maha Suci ALLAH! ALLAH turut menceritakan perihal unta yang sering dipertikaikan oleh para orientalis mutakhir dalam surah al-Ghasiyyah:
Ayat 17: “(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat), tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?”.
Persoalan-persoalan berupa cabaran dan cemuhan ini sengaja dibentuk oleh para orientalis dalam menganggu gugat keimanan para mukminin.
Nah, hanya mereka yang percaya dan berharap kepada Tuhannya pasti tidak tergugat dengan pernyataan sebegitu.
Betapa ALLAH menidakkan kata-kata orientalis yang mengatakan bahawa al-Quran hanya menceritakan perihal haiwan di negara-negara Arab.
Mereka berusaha untuk menjatuhkan kesucian al-Quran dengan melemparkan pelbagai doktrin palsu. Tujuannya satu, iaitu untuk menyesatkan umat Islam dengan kepalsuan dengan ceritera rekaan mereka.
Firman ALLAH SWT: “Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)”.(Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan ALLAH telah melaknatkan mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka beriman.” (Al-Baqarah: 2:86) (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)
Selaku hamba ALLAH SWT yang beriman kepadaNYA, maka mukminin terlepas daripada terpedaya pujuk rayu munafiqun ini. Disebabkan kerana kekufuran mereka(orientalis) kepada ALLAH dan Rasul-RasulNYA, kaum yahudi telah dilaknat oleh ALLAH ‘Azza wa Jalla, dan akibatnya mereka menerima bala bencana berterusan dan mereka tidak beroleh selamat dalam iman sepanjang sejarah.
Maka, golongan ini sibuk mencari-cari akan mangsanya. Sudah pasti, di kalangan golongan tersebut ialah muslim yang lemah imannya, kerana hidup tanpa ilmu, egois dan malas berfikir serta berguru dengan nafsu tanpa mempunyai guru.
Firman ALLAH SWT: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap ALLAH sedang dia diajak kepada agama Islam? Dan ALLAH tiada memberi petunjuk kepada orang yang zalim. Mereka hendak memadamkan cahaya ALLAH dengan mulut mereka, dan ALLAH tetap menyempurnakan cahayaNYA meskipun orang-orang kafir benci. Dialah yang mengutus RasulNYA dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar DIA memenangkan atas segala agama meskipun orang-orang musyrik benci ” (As-Saff: 61:7-9)
Maka, terpukullah golongan-golongan orientalis ini serta golongan sealiran dengan mereka seperti liberalisme, sekularisme, darwinisme, famininsme berkenaan tanggapan yang sengaja mereka cipta.
Golongan kafir yang ingkar ditolak amalan mereka. Itulah kaedah penilaian ALLAH SWT kepada keimanan hambaNYA. Pernah ditanya oleh Saidatina Aisyah R.A tentang Ibnu Jada’an, yang diketahui gemar membantu ibu-ibu tunggal, anak yatim dan orang disekelilingnya.
Dalam sebuah Hadith Aisyah bertanya kepada Rasulullah SAW: ibni Jada’an, rajin menjalin silaturahim, membantu orang susah serta segera dalam berbuat kebajikan. Kata Nabi, dia disisi ALLAH telah mati, tiada nilai apa pun. Begitulah contoh serta ibrah yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Rasulullah SAW. Maka, penilaian daripada ALLAH amat berbeza dengan penilaian dimata dan akal manusia.
Lihat penilaian manusia hari ini. Segala-galanya berasaskan kepada apa yang dilihat, tanpa pengharapan kepada Khalik. Penilaian di sisi ALLAH ialah akidah. Apalah gunanya harta yang disedekahkan dalam keadaan ALLAH SWT tidak redha akan dirinya.
Manakala masa serta jerih payah yang dilaburkan atas nama dakwah rupanya tidak mempunyai nilaian pahala disisi ALLAH Yang Maha Mulia. Semuanya punah, kerana hati tidak bersatu dengan kehendak untuk mendapat manfaat dalam usaha dakwah yang tidak dianggap sebagai ibadah. Tetapi untuk mendapat tujuan keduniaan.
Justeru, persoalan yang acap kali kedengaran dibibir-bibir mukminin mengapa aku ditakdir jadi begini, mengapa tidak orang lain dan pelbagai lagi keluhan dan persoalan yang menampakkan kelemahan dinyatakan tanpa rasa iman kepada ALLAH SWT. Seolah-olah ucapan yang dilafaz tidak menggambarkan peribadi mukmin yang beriman. Nauzubillah.
Prof. Hamka menyatakan: Apabila manusia mencipta sesuatu perkara, ia kelihatan cantik dimata pada waktu itu. Namun, setelah hasil ciptaan telah berusia, ia tidak lagi sempurna dimata manusia. Perkara ini berlaku disebabkan ketidaksempurnaan yang dimiliki oleh manusia.
Disebabkan mendahulukan manusia sebagai punca kepada kejayaan yang diingini, sedangkan ALLAH SWT dikesampingkan, maka apabila usaha menemui kegagalan, dengan mudah dakwah ditinggalkan. Paling malang, dakwah dijadikan sebagai alasan kegagalannya dalam mengecap nikmat dunia, yakni kejayaan bersifat sementara.
Malang, kerana manusia yang ingkar, buta hatinya, serta tertutup mindanya dalam menilai kebaikan sebagai tujuan kemuliaan.
Manakala Abu Hassan Ali al-Nadawi (Reaktor Universiti Madinah) dalam satu syarahanya bertanya: “Li maza akhila ala limatal muslimin”(kenapa orang Islam hari ini mundur?).
Jawabnya ialah kerana tidak melihat dan menilai ciptaan ALLAH. Jawaban ringkas ini menjadi asas kepada gambaran terkini umat Islam. Kemalasan yang mencengkam, kerosakan moral belia adalah amaran awal betapa umat Islam hari ini berada di dalam kondisi tidak keruan.
Natijahnya, orang-orang bukan Islam telah menguasai kebanyakan kemahiran, yang mana jika diguna bakal mendatangkan kesan kebaikan dan mampu pula memberi tekanan kepada musuh.
Contohnya, negara-negara barat melihat kepada pepatung, rupanya ia dijadikan draf pembinaan helikopter oleh mereka. Lalu dijual dan dibina, manakala umat Islam sekadar pengguna. Kapal selam tercipta sebegitu rupa diambil daripada kajian keatas ikan. SUBHANALLAH!
Begitulah hasil berfikir, maka akan lahir taakul. Ia wujud hasil daripada keinginan untuk mendapat manfaat dengan melihat ciptaan ALLAH SWT. Lalu dengan penuh keyakinan, seorang hamba yang patuh kepada tuannya, pasti akan melakukan segala arahan dan meninggalkan tegahan kerana dia yakin, walau tidak kelihatan nikmat dan keindahan yang dijanjikan, serta tidak merasa azab berupa kepedihan, dia pasti dan akan tunduk kepada segala suruhan dan menjauhi larangan.
Jika apabila sesama manusia yang berpangkat, manusia segera berubah tingkah laku kerana hormat akan pangkat yang dimiliki, manakala pangkat tersebut dikurnia dan diletak nilainya oleh manusia juga. Maka bagaimana pula apabila berdepan dengan Maha Pencipta serta Raja kepada segalanya.
0 comments:
Post a Comment